Sunday, 12 February 2012

Gotong royong Puspen Bachok

Program sehari anjuran Puspen Bachok ini diadakan pada 11 Feb. 2012 dan disertai oleh lebih kurang 20 orang pelatih bersama pagawai dan pengiring mereka. Program ini adalah salah satu program transformasi pelatih-pelatihnya untuk mendekatkan mereka dengan masyarakat kelak dan pihak Rays amat berbesar hati kerana rumah kebajikan ini telah dipilih untuk perlaksanaan program tersebut yang julung-julung kali dianjurkan oleh Puspen di sini.
Program tersebut diisi dengan gotong royong membersihkan kawasan, potong rumput dan susun atur pokok bunga/lanskap.  Kreativiti pelatih-pelatih tersebut terselah ketika melakukan kerja-kerja lanskap sehingga suasana persekitaran yang semak pada awalnya kelihatan ceria dan cantik hasil sentuhan mereka. Program ini diserikan dengan persembahan nasyid dan dikir barat oleh anak-anak di sini.  Seusai membersihkan kawasan, suatu jamuan ringan diadakan.  Program ini ditutup dengan ucapan penutup oleh Ust. Azhar Al-Hafiz selaku pengerusi Perkata dan penyelia Rays, Pn. Fatimah menerima hadiah berupa hamper daripada pegawai Puspen.
Harapan kami semoga program ini memberi manfaat kepada Puspen dan juga pelatih-pelatihnya ke arah menjadi insan yang berguna kepada masyarakat kelak. Moga di lain kali pihak Puspen tidak keberatan untuk mengadakan program ini lagi.






Friday, 20 January 2012

Penetapan arah kiblat untuk pembinaan masjid

Setelah sekian lama merancang untuk membina sebuah masjid bagi kegunaan anak-anak penghuni di kompleks ini dan juga untuk warga kariah Kg. Telong maka akhirnya hasrat tersebut dapat dilaksanakan juga. Pada 19 Januari 2012, Ust. Hasbullah dan kakitangannya dari unit Falak, Jabatan Mufti Negeri Kelantan datang melakukan kerja-kerja mengukur dan menetapkan arah kiblat bagi tujuan pembinaan masjid yang dirancang itu.



Sunday, 18 December 2011

Kunjungan ahli qaryah Padang Katong, Kangar

      Pihak kami amat berbesar hati menerima kunjungan rombongan tetamu dari Kangar, Perlis pada 17 Dis. 2011 yang lalu. Rombongan ini yang terdiri daripada ahli-ahli qaryah Masjid Al-Ariffin, Kg. Padang Katong, Kangar, Perlis dalam rangka lawatan mereka melihat tempat-tempat menarik di Kelantan. Sebelum pulang, mereka sempat singgah sebentar untuk melihat suasana di rumah perlindungan ini. Kerana kesuntukan masa, suatu majlis suai kenal ringkas diadakan. Sedikit jamuan ringan dihidangkan untuk tetamu yang jauh ini.
     Di kesempatan ini, pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas kunjungan tersebut. Ucapan terima kasih juga di atas sumbangan dan hadiah yang diberi. Tak lupa juga kepada saudara Anuar selaku perantara kepada kunjungan yang bermakna ini. Moga kunjugan anda semua ke Kelantan diberkati Allah dan menjadi kenangan manis insya Allah...





Thursday, 15 December 2011

Program sehari bersama pelajar PTPL

Pada 10 Disember 2011 yang lalu anak-anak yatim dan penghuni di sini ceria menyambut kedatangan abang-abang dan kakak-kakak angkat yang terdiri daripada pelajar-pelajar PTPL cawangan Kota Bharu. Kedatangan pelajar-pelajar ini bagi menjayakan program khas yang dinamakan "Colours Of Hope". Menurut saudara Mohd Faizul Idham Isa selaku pengurus projek tersebut, ia bertujuan untuk mendedahkan pelajar-pelajar tersebut dengan suasana kehidupan anak-anak ini menjalani kehidupan berdikari di sini.
Sehari bersama anak-anak ini, mereka mengecat bilik kelas, bergotong royong membersihkan kawasan, bermain dengan anak-anak ini di padang dalam acara sukaneka, kuiz, pembahagian hadiah dan acara-acara lain. Pihak kami amat terharu di atas keperihatinan pelajar-pelajar tersebut. Moga program ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.









Wednesday, 28 September 2011

Program ibadah korban/akikah sambil menderma

       Sempena Idul Adha yang bakal menjelang tak lama lagi, pihak pengurusan Perkata dan Rays menganjurkan Program Ibadah Korban/Akikah sambil menderma untuk pembangunan dan kebajikan anak-anak yatim di sini. Muslimin dan muslimat dijemput menyertai program yang julung-julung kali diadakan di sini.
       Program ibadah korban/akikah ini diadakan bagi memberi peluang kepada individu yang ingin melakukan ibadah korban/akikah tanpa bersusah payah menguruskan daging sembelihan. Di waktu yang sama daging korban tersebut boleh disedekahkan kepada orang-orang miskin atau anak-anak yatim di sini. Keuntungan dari jualan bahagian lembu korban itu akan digunakan untuk kebajikan anak-anak yatim dan juga untuk menyiapkan bangunan asrama. Ibadah korban ini akan diadakan selama 3 hari iaitu pada Hari Raya Pertama, Kedua dan Ketiga.
       Harga satu bahagian lembu ialah RM380 hingga RM420. Kepada muslimin dan muslimat yang berminat bolehlah menghantar nama dan alamat secara emel (raysalimah@yahoo.com) atau sms ke nombor 014-8224449.  Bayaran harga lembu boleh dibayar tunai (jika berdekatan) atau bank-in ke akaun Bank Islam 03090010025721 atas nama Pertubuhan Kebajikan Tunas Al-Qur'an. Sijil penyertaan akan diberi kepada peserta yang terlibat, insya Allah.
       Kepada muslimin dan muslimat yang telah mendaftar untuk program ini, pihak kami dahulukan dengan ucapa ribuan terima kasih, semoga ibadah kita semua akan diterima oleh Allah Ta'ala. Amin.

Sunday, 14 August 2011

Majlis tahlil arwah

Alhamdulillah di bulan Ramadhan ini pihak kami menerima beberapa permintaan untuk mengadakan majlis tahlil arwah. Untuk makluman, sumbangan yang diterima untuk majlis tahlil ini digunakan untuk persediaan juadah berbuka puasa dan majlis tahlil tersebut diadakan pada waktu berbuka. Diharap penyumbang akan mendapat dua ganjaran pahala iaitu pahala memberi makan orang berbuka dan pahala majlis tahlil oleh anak-anak yatim di sini yang diniatkan kepada mereka yang telah tiada. Terima kasih diucapkan kepada penyumbang yang telah menyumbang sejumlah dana. Moga mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda...Insya Allah.

Thursday, 4 August 2011

Alahaiii.... MAIK

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, pihak pengurusan rumah kebajikan ini menggesa agar Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meluluskan permohonan kutipan derma untuk rumah kebajikan ini. Permohonan sudah dibuat sejak setahun yang lalu, namun setiap kali dihubungi hanya jawapan sedang dalam proses yang diterima. Alangkah lamanya proses kelulusan untuk sebuah permohonan. Pihak pengurusan RAYS sangat terdesak dan memerlukan dana untuk menyiapkan pembinaan bangunan asrama yang terhenti pembinaannya sejak setahun yang lalu. Jika pihak kami mempunyai dana mencukupi, tak perlulah kami terhegeh-hegeh menagih simpati MAIK hanya untuk sebuah kelulusan kutipan derma. Pihak kami bukannya memohon peruntukan jutaan Ringgit tetapi hanya kelulusan pungutan derma yang diminta namun itupun mereka tak dapat penuhi. Baru-baru ini pihak kami ada memohon sedikit bantuan beras dan wang untuk makan minum penghuni/pelajar di sini namun hingga kini tiada sebarang jawapan.
Jika rumah kebajikan ini masih tidak cukup 'kebajikan' lagi pada pandangan pegawai-pegawai MAIK, jadi apakah kriteria 'kebajikan' yang dikehendaki MAIK yang melayakkan anak-anak ini mendapat bantuan? Jika dengan alasan bahawa anak-anak yatim tidak layak menerima wang zakat, apakah berlaku baik dan memenuhi keperluan makan minum mereka tidak dianjurkan oleh agama? Adakah membela mereka menjadi insan sempurna dan menghindarkan mereka daripada menjadi sampah masyarakat bukan fardhu kifayah? Atau adakah MAIK hanya ingin menguruskan Darul Aitam yang terletak di bawah jagaan mereka saja dan tidak menghiraukan rumah-rumah kebajikan yang lain?  Lalu apakah fungsi sebenar sebuah institusi seperti MAIK jika berlepas tangan dari menjaga kebajikan anak-anak ini? Apakah mereka yang juga sedang mengikuti pengajian tahfiz Al-Qur'an juga tidak termasuk dalam asnaf zakat 'fi sabilillah'?