Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, pihak pengurusan rumah kebajikan ini menggesa agar Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meluluskan permohonan kutipan derma untuk rumah kebajikan ini. Permohonan sudah dibuat sejak setahun yang lalu, namun setiap kali dihubungi hanya jawapan sedang dalam proses yang diterima. Alangkah lamanya proses kelulusan untuk sebuah permohonan. Pihak pengurusan RAYS sangat terdesak dan memerlukan dana untuk menyiapkan pembinaan bangunan asrama yang terhenti pembinaannya sejak setahun yang lalu. Jika pihak kami mempunyai dana mencukupi, tak perlulah kami terhegeh-hegeh menagih simpati MAIK hanya untuk sebuah kelulusan kutipan derma. Pihak kami bukannya memohon peruntukan jutaan Ringgit tetapi hanya kelulusan pungutan derma yang diminta namun itupun mereka tak dapat penuhi. Baru-baru ini pihak kami ada memohon sedikit bantuan beras dan wang untuk makan minum penghuni/pelajar di sini namun hingga kini tiada sebarang jawapan.
Jika rumah kebajikan ini masih tidak cukup 'kebajikan' lagi pada pandangan pegawai-pegawai MAIK, jadi apakah kriteria 'kebajikan' yang dikehendaki MAIK yang melayakkan anak-anak ini mendapat bantuan? Jika dengan alasan bahawa anak-anak yatim tidak layak menerima wang zakat, apakah berlaku baik dan memenuhi keperluan makan minum mereka tidak dianjurkan oleh agama? Adakah membela mereka menjadi insan sempurna dan menghindarkan mereka daripada menjadi sampah masyarakat bukan fardhu kifayah? Atau adakah MAIK hanya ingin menguruskan Darul Aitam yang terletak di bawah jagaan mereka saja dan tidak menghiraukan rumah-rumah kebajikan yang lain? Lalu apakah fungsi sebenar sebuah institusi seperti MAIK jika berlepas tangan dari menjaga kebajikan anak-anak ini? Apakah mereka yang juga sedang mengikuti pengajian tahfiz Al-Qur'an juga tidak termasuk dalam asnaf zakat 'fi sabilillah'?
No comments:
Post a Comment